Logo, Tema & Maskot Rasmi Sukan SEA ke-29 KL


Pada tahun 2017, Malaysia akan sekali lagi menjadi tuan rumah Sukan SEA kali ke-29 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur. Sukan SEA @ SEA Games merupakan acara sukan terbesar di Asia Tenggara dengan penyertaan sebanyak 11 buah negara Asia Tenggara dengan kerjasama Komiti Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Majlis Olimpik Asia.

Menariknya, Sukan SEA kali ini diadakan dalam tahun di mana negara menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-60.

Logo, Tema & Maskot Rasmi Sukan SEA ke-29 KL

Berikut adalah Tema, Logo dan Maskot rasmi bagi temasya Sukan SEA ke-29 di Kuala Lumpur, Malaysia yang akan diadakan pada tahun 2017 bersama penerangan maksud, pemilihan dan rekabentuk.

Tema Sukan SEA
Tema Sukan SEA kali ini ialah `Bangkit Bersama’ yang melambangkan ketibaan era di mana negara-negara Asia Tenggara perlu bersatu sebagai sebuah komuniti. Rantau ini telah sekian lama menempa nama di persada antarabangsa dan kini sekali lagi mencipta sejarah untuk bersama-sama bersatu dan berganding bahu dalam mencapai keamanan, kemajuan dan kemakmuran.

Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 adalah temasya pertama diadakan selepas penubuhan Komuniti ASEAN dan sukan akan memainkan peranan penting menyatupadukan seluruh komuniti di Asia Tenggara dalam meraikan kecemerlangan dan meningkatkan semangat juang berbekalkan semangat setiakawan yang jitu.

Logo Sukan SEA
Logo ini pula dicipta berasaskan Wau Bulan, lambang kebanggaan Malaysia. Wau Bulan adalah sejenis layang-layang berbentuk bulan sabit yang terkenal di Pantai Timur negara ini.

Keunikan reka bentuk dan kehalusan ukiran hiasannya, serta keindahan gemalainya melayang di angkasa melambangkan kuasa terunggul sebagai juara. Jalur warna-warni pula mewakili panji-panji semua negara peserta Sukan SEA untuk membentuk identiti Kuala Lumpur 2017.

Maskot Sukan SEA
Sebagai lambang semangat sukan yang membara, kita memerlukan maskot yang hebat dan menarik. Maskot yang terpilih untuk Kuala Lumpur 2017 ialah spesis Harimau Malaya yang terkenal dengan sifat gagah perkasa, peramah, berdaya saing, sekali gus melambangkan jiwa atlet sebenar. Namanya adalah RIMAU.

Logo, Tema & Maskot Rasmi Sukan SEA ke-29 KL

R.I.M.A.U. membawa maksud: Hormat (Respect), Berwibawa (Integrity), Tangkas (Move), Bersikap Positif (Attitude) dan Bersatu (Unity).

Hormat (Respect)
  • Saling menghormati antara rakan dan lawan, pegawai-pegawai sukan dan peminat-peminat yang memberi sokongan. Mempertahankan nilai-nilai kesukanan sejati.
Berwibawa (Integrity)
  • Jujur dan amanah dalam mematuhi kod etika kesukanan dan nilai yang diterapkan di dalamnya.
Tangkas (Move)
  • Tangkas, pantas dan gagah perkasa. Melangkaui had dan merentasi halangan.
Bersikap Positif (Attitude)
  • Bersikap positif dengan semangat kesukanan dan meraikan persahabatan. Bertanding untuk menang secara bermaruah.
Bersatu (Unity)
  • Bersatu dalam menyemarakkan semangat kesukanan tulen.
Semoga Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 akan berlangsung dengan gemilang dan jayanya serta mampu menobatkan Malaysia sebagai juara keseluruhan.

0 Komentar untuk "Logo, Tema & Maskot Rasmi Sukan SEA ke-29 KL"

Coretan anda amat-amat dihargai. Terima kasih bersama 'BMBlogr - “Jazakumullah Khairan Katsiran Wa Jazakumullah Ahsanal Jaza”

 
Copyright © 2015 BMBlogr - All Rights Reserved