Novel Bima Sakti Menari - Komsas Tingkatan 5


Novel Bimasakti Menari telah dipilih menjadi novel rujukan Komsas Tingkatan 5 bagi Zon 3 untuk tahun 2016 hingga 2020.

Novel Bima Sakti Menari - Komsas Tingkatan 5

Penulis novel Bima Sakti Menari, Sri Rahayu binti Mohd Yusop, 39, merupakan guru bahasa Inggeris di SMK Pandan Jaya, Ampang. Beliau adalah bekas pelajar Sekolah Tun Fatimah itu memiliki ijazah sarjana muda TESL dari Universiti Otago, New Zealand dan kelayakan ikhtisas pendidikan di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Kuala Lumpur.

Bima Sakti Menari adalah sebuah karya novel yang unik serta menarik kerana temanya yang berbeza dari topik kebiasaan di mana ia mengisahkan tentang pemeliharaan alam sekitar khususnya untuk menangani pencemaran cahaya.

Dalam Bimasakti Menari, Sri Rahayu membawa pembaca sejenak merenung tentang aktiviti-aktiviti antropogenik yang telah mengakibatkan pencemaran cahaya sehingga langit tidak lagi gelap dan kelip-kelip Kuala Selangor tidak lagi mahu menunjuk cahaya.

Berikut adalah sinopsis penuh Novel Bima Sakti Menari yang boleh dijadikan rujukan akan intipati keseluruhan novel ini.

Sinopsis Novel Bima Sakti Menari

Nama watak utama, Nurul Hafsa, pertama kali disebut pada muka surat 3, baris 3. Nurul Hafsa sedang melayan kunjungan 15 orang murid dan 3 orang guru pengiring dari Hiroshima Jepun di tempat bertugasnya, iaitu Balai Cerap Sultan Salahuddin, Bukit Melawati, Kuala Selangor. Nurul Hafsa baru seminggu tamat pengajian dalam bidang fizik dan kajian falak, Universiti Jordan dan hari itu merupakan hari pertama Nurul Hafsa bertugas.

Watak sampingan, Puan Wickam muncul pada muka surat 11 dan seterusnya menjadi judul bab 2. Watak utama kedua (hero), Muhammad Taufik, anak kepada Maryam @ Marion Wickham Abdullah dan Tan Sri Muhaimin (yang telah berpisah) melengkapkan cita-cita perjuangan Nurul Hafsa, iaitu projek Kawasan Simpan Langit Gelap Kuala Selangor.

Kemudian muncul satu per satu watak Budiman (abang Nurul Hafsa), Haji Yassir (bapa Nurul Hafsa), Tan Sri Yahya (wakil DBKL dan rakan MRSM Tan Sri Muhaimin), Dato' Haji Mustofa al-Hamidi (pegawai daerah Kuala Selangor) dan menteri besar Selangor (tidak disebut nama).

Novel Bima Sakti Menari - Komsas Tingkatan 5Konflik / pergolakan bermula dengan kemunculan watak penentang (antagonis), iaitu Dato' Johann-Arlington-Majid (campuran Melayu-Irish) yang kebetulan pernah berebut kasih Marion Wickam dengan Tan Sri Muhaimin. Dia pembekal lampu utama Kuala Selangor, serta sahabat baik Dato' Mustofa. Projek Nurul Hafsa bersama Muhammad Taufik dan Budiman suatu ancaman besar perniagaannya, lalu dia merancang komplot dengan mengupah tiga orang samseng.

Mangsa pertama Johann ialah Muhammad Taufik yang dipukul curi setelah tayar keretanya pancit akibat melanggar stringer (besi hitam yang dipasang bersama besi tajam) yang sengaja diletak di situ. Setelah itu Nurul Hafsa sendiri diculik, tetapi dia tidak diapa-apakan kerana dia hanya sebagai umpan untuk mendapatkan semula Muhammad Taufik. Akhirnya pihak polis berjaya menggempur tempat Muhammad Taufik disembunyikan.

Peristiwa buruk yang menimpa Muhammad Taufik memiliki hikmah yang tersembunyi. Tan Sri Muhaimin kembali bernikah dengan Puan Wickham. Malah, Muhammad Taufik sendiri melafazkan hasrat untuk memiliki Nurul Hafsa yang diterima dengan senang hati.

Sinopsis Ikut Bab Novel Bima Sakti Menari

BAB 1: JANJI SRIKANDI
Dalam bab Janji Srikandi, penulis bercerita tentang Nurul Hafsa yang melalui hari pertamanya bekerja sebagai Pegawai Sains di Balai Cerap Sultan Salahuddin, Kuala Selangor. Sekumpulan pengunjung yang terdiri daripada kumpulan murid dan guru pengiring dari Sekolah Rendah Kichihimahigashi, Hiroshima hadir ke balai cerap tersebut untuk melihat buruj Orion atau buruj Belantik dengan mata kasar, tanpa sebarang bantuan alat pencerap. Malangnya, Nurul Hafsa telah menghadapi masalah di luar jangkaannya apabila langit pada malam tersebut  yang sepatutnya telah benar-benar gelap tetap cerah. Nurul Hafsa yang pada mulanya runsing dengan situasi tersebut akhirnya telah mengambil langkah bijak bagi menyelesaikan masalah tersebut dengan mengemukakan hujah yang dapat diterima oleh kumpulan pengunjung tersebut. Dia dengan berani telah mengakui kekurangan yang berlaku pada malam tersebut berpunca daripada kesan negatif akibat pembangunan pesat yang berlaku di Kuala Selangor. Pada malam tersebut, Nurul Hafsa telah menanam azam dalam jiwa seterusnya berjanji kepada para pengunjung bahawa dia akan memulihkan keadaan yang berlaku dengan sedaya upayanya. Pada mulanya, Puan Wickham mempersoalkan kemampuan manusia untuk menggerakkan bintang kembali ke kawasan pencerapan. Namun, Nurul Hafsa dengan hujah bijaknya menyatakan bahawa bintang-bintang sememangnya sedia ada di langit, hanya mata manusia sahaja yang tidak dapat melihat. Sedikit cahaya akan membuka deria manusia, manakala banyak cahaya pula akan menutup deria kita. Dia memaklumkan bahawa tuhan menciptakan deria manusia dengan penuh keterhadan agar kita tidak leka dengan sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh deria.

BAB 2: WICHAM
Dalam bab ini, penulis mendedahkan bahawa Puan Wickham yang hadir sebagai pengiring kumpulan pelajar dari Hiroshima, Jepun merupakan ibu kepada salah seorang Pegawai Cerap Sultan Salahuddin yang bernama Muhammad Taufik. Muhammad Taufik berasa kesal dengan janji yang dibuat oleh Nurul Hafsa terhadap pengunjung tersebut kerana dia benar-benar kenal dengan ibunya, Puan Wickham yang akan datang lagi bersama kumpulan pengunjung tersebut untuk menuntut janji yang dilafazkan oleh Nurul Hafsa. Walaupun Puan Wickham dan anaknya, Muhammad taufik tinggal berjauhan namun kekerapan mereka berkomunikasi melalui rangkaian sosial menyebabkan mereka tidak kekok untuk berbual setiap kali bersua muka. Mereka mempunyai minat dalam bidang yang sama. Pada malam tersebut Muhammad Taufik menjemput ibunya untuk bermalam di rumah prototaip Ikhtiar TeknoAlam yang diusahakan olehnya. Hal ini bagi membolehkan Puan Wickham memberikan pendapat beliau tentang projek pembinaan rumah mesra alam komersial yang sedang diusahakan oleh anaknya, Muhamad Taufik. Muhammad Taufik bersyukur atas kepulangan ibunya walaupun dia tahu apabila subuh menjelang, ibunya akan pergi kembali meneruskan tugas beliau.

BAB 3: SUNGAI RAHSIA
Nurul Hafsa memutuskan untuk melakukan kajian terlebih dahulu tentang kebenaran kata-kata kumpulan pengunjung dari Hiroshima yang kecewa kerana tidak dapat melihat kelip-kelip di Kuala Selangor sebelum dia bertanyakan hal tersebut kepada abangnya, Budiman. Nurul Hafsa telah pergi ke tempat orang melihat kelip-kelip dengan menaiki kereta yang dipandu oleh ayahnya, Haji Yassir. Sesampai di sana, Haji Yassir tidak berminat untuk bersama-sama Nurul Hafsa menaiki bot untuk melihat kelip-kelip. Hal ini disebabkan seumur hidupnya Haji Yassir tinggal di Kampung Kuantan dan tidak pernah ke mana-mana selain ke Tanah Suci Mekah. Dalam imaginasi Nurul Hafsa, dia nampak kelip-kelip terbang dalam satu gerombolan dengan jumlah berjuta-juta ekor dan melakukan kerlipan secara serentak. Malangnya, pemandangan hebat tersebut hanyalah khayalan semata-mata. Realitinya, menunggu kehadiran serangga tersebut bagaikan mereka menunggu kehadiran tetamu yang sangat pemalu. Akhirnya, Nurul Hafsa menerima kanyataan bahawa perkara inilah yang dialami oleh kumpulan pengunjung dari Jepun yang terbang beribu-ribu batu jauhnya tetapi hanya dapat menyaksikan kelip-kelip yang cahayanya separuh mati kerana bilangannya yang sedikit. Nurul Hafsa turut mengajak pengemudi bot yang dinaikinya untuk melalui suatu kawasan cabang sungai milik persendirian yang dikatakan menjadi tempat kumpulan kelip-kelip berkelip serentak seperti lampu-lampu hiasan. Namun demikian, dia begitu kecewa kerana kawasan persendirian tersebut tidak dapat dilalui oleh mereka. Sepanjang perjalanan pulang, Nurul hafsa melayan perasaan sambil memikirkan sudut hujahan yang bakal dibentangkan dalam satu persidangan kemuncak fantasi. Kuala Selangor yang berubah menjadi bandar pelancongan telah dicemari oleh pencemaran cahaya dengan senyap.

BAB 4: BUDIMAN
Budiman kembali ke rumah dengan menaiki sebuah kereta jenis hibrid seperti yang diimpikan oleh Nurul Hafsa. Budiman dan adiknya makan tengah hari bersama ayah mereka, Haji Yassir. Seusai solat Zohor berjemaah, Budiman bertanyakan khabar Nurul Hafsah tentang hari pertama dia bekerja di balai cerap. Setelah mendapat jawapan yang mengecewakan daripada adiknya, Budiman yang merupakan seorang guru Sains di Sekolah Menengah Kebangsaaan Tanjung Keramat sejak tiga tahun yang lalu membaca laporan menggunakan Skala Langit Gelap Bortle yang ditaip adiknya, Nurul Hafsah. Skala ini dicipta oleh John E Bortle untuk membantu peminat-peminat kaji falak amatur membandingkan tahap kegelapan langit di sesuatu tempat pencerapan dengan tempat pencerapan lain. Berdasarkan skala ini, Kuala Selangor yang pernah diklasifikasikan sebagai kelas 1 sebelum ini, kini berada di kelas 8, iaitu langit terbias dengan warna putih atau oren disebabkan cahaya lampu. Nurul Hafsah mengeluh apabila Kuala Selangor yang baru empat tahun ditinggalkannya telah berubah. Budiman mengakui penduduk Kuala Selangor belum menyedari bahawa pembangunan dan kemudahan yang dinikmati jika tidak dirancang dengan teliti akan membawa kesan buruk terhadap alam sekitar. Nurul Hafsa terkejut namun gembira  apabila menyedari bahawa Budiman turut menyokong usahanya untuk menyelamatkan Kuala Selangor daripada terus tercemar akibat pembangunan yang tidak terancang.

BAB 5: JIWA AYAHANDA
Tan Sri Muhaimin mengambil tempat pemandunya yang keletihan menunggu kepulangan beliau di lapangan terbang dan memandu laju ke sebuah kawasan kampung tempat projek rumah Ikhtiar TeknoAlam yang didiami anaknya Muhammad Taufik. Sepanjang pemanduannya, beliau mengimbas kembali kenangan perpisahan antara beliau dengan isterinya Maryam Wickham Abdullah kerana Muhammad Taufik telah menghantar pesanan ringkas tentang kehadiran bekas isterinya untuk bermalam di situ. Beliau berasa puas dapat membuktikan kepada bekas isterinya bahawa beliau telah melakukan yang terbaik untuk anak mereka. Sesampai beliau di rumah Muhamamad Taufik, air muka beliau berubah apabila dimaklumkan anaknya bahawa Puan Maryam telah pulang. Beliau tetap bertanyakan khabar Puan Maryam kepada anaknya ketika mereka bersama dengan pemandunya Sobirin menghadap hidangan yang dimasak Puan Maryam sebelum bekas isterinya itu pergi. Walaupun Tan Sri Muhaimin terpaksa melepaskan isterinya kerana perbezaan pendapat dan membawa haluan masing-masing, namun mereka tidak pernah bermusuh dan zuriat menjadi penyambung silaturahim mereka berdua.

BAB 6: CITA-CITA
Nurul Hafsa membuat keputusan untuk bercakap dengan Puan Foziah, Pegawai Atasan Pejabat Majlis Daerah Kuala Selangor berkaitan dengan laporan tentang tahap kecerahan langit Kuala Selangor yang telah dihantarnya. Namun demikian, Nurul Hafsa hanya dinasihati agar tidak mengharapkan sebarang tindkan diambil kerana Puan Foziah memaklumkan tiada undang-undang alam sekitar yang telah dilanggar di Kuala Selangor. Namun demikian, Nurul hafsah tetap mengingati janjinya terhadap kumpulan pengunjung kanak-kanak dari Jepun yang ingin melihat bintang di Kuala Selangor dan impiannya yang sejak dulu hingga kini adalah untuk menjadikan Kuala Selangor, Bukit Melawati dan Balai Cerap Sultan Salahuddin tempat tumpuan peminat-peminat langit seluruh dunia melihat bintang. Dalam masa yang sama, Nurul Hafsah bertanyakan abangnya Budiman sama ada dirinya telah hilang akal dan bimbang tentang hal yang remeh-temeh. Budiman menasihati Nurul Hasfa agar bertenang dan beristighfar serta mendengar kata hati. Akhirnya, dia bertekad tidak akan membiarkan masalah pencemaran di Kuala Selangor daripada terus berlaku. Mereka sedar perkara ini tidak boleh dilakukan tanpa bantuan orang lain. Budiman bersedia untuk membawa adiknya berjumpa dengan ‘ lelaki kelip-kelip’. Lelaki tersebut merupakan individu yang memagar sungai kecil di kawasan orang melihat kelip-kelip dan dialah juga yang menghantar Budiman pulang ke rumah dengan kereta hibrid. Pada awalnya, Nurul Hafsa tidak senang dengan lelaki tersebut, namun Budiman menasihati adiknya agar tidak terburu-buru bersangka buruk terhadap orang lain.  Nurul Hafsa bersedia untuk berjumpa lelaki tersebut dengan folio yang dihasilkannya dengan tajuk Kuala Selangor: Kawasan Simpan Langit Gelap.

BAB 7: LELAKI KELIP-KELIP
Nurul Hafsa menyiapkan dirinya untuk bertemu lelaki kelip-kelip dengan berhati-hati. Dia beranggapan bahawa dia akan bertemu dengan seorang lelaki berpangkat bapa dan berpengaruh seperti yang dikatakan oleh abangnya, Budiman. Setelah mereka berdua sampai di kawasan rumah lelaki kelip-kelip, Nurul Hafsa ternampak seorang lelaki muda sedang membuat kerja-kerja pertukangan yang melibatkan pembinaan sebuah peralatan pertanian kecil-kecilan. Apabila Nurul Hafsa melihat wajah lelaki tersebut, mindanya cuba mengingati kembali wajah-wajah yang pernah dia lihat sepanjang usianya. Akhirnya, Nurul Hafsa mengecam wajah lelaki tersebut. Budiman memanggil lelaki tersebut dengan nama Muhammad Taufik dan bertanyakan beliau sama ada masih mengingati adiknya, Nurul Hafsa. Rupa-rupanya Muhammad Taufik merupakan rakan sekolah abangnya ketika bersekolah di Tanjung Keramat. Budiman memaklumkan bahawa selepas tahun 6, dia belajar di Otago. Dalam masa yang sama, Nurul Hafsa menyindir perbuatan Muhammad Taufik yang memagar sebahagian daripada sungai Selangor. Muhammad Taufik menjelaskan bahawa dia yang meminta ayahnya membelikan tanah yang menyusuri tepi anak sungai di Kampung Kuantan, terus ke kampung Api-api yang berkeluasan 50 hektar. Semua ini dilakukannya apabila dia mendapati populasi kelip-kelip di Kampung Kuantan semakin berkurangan akibat kehadiran pelancong yang ramai dengan bunyi enjin motor bot, cahaya lampu di jeti, pencemaran air sungai, pemusnahan kawasan paya bakau, cahaya dari kawasan petempatan manusia dan cahaya rodaferris yang semuanya membawa ancaman kepada populasi kelip-kelip. Dia memagar anak sungai tersebut dengan harapan kelip-kelip mempunyai tempat untk bersembunyi dan akan meruntuhkan pagar itu apabila populasi kelip-kelip sudah pulih kembali. Nurul Hafsa yang mendengar penjelasan tersebut memohon maaf daripada En. Taufik kerana telah tersalah anggap terhadap pemuda tersebut.

BAB 8: BEBAS GRID
Budiman mencadangkan Muhammad Taufik menunjukkan projek yang sedang dilaksanakannya kepada Nurul Hafsa. Muhammad Taufik bersetuju lalu mengajak Budiman dan adiknya meneliti rumah tradisional Melayu yang mempunyai ciri-ciri berteknologi tinggi yang dibinanya. Setelah mendengar penjelasan Muhammad Taufik tentang sistem rumah tersebut, lalu Nurul Hafsa membuat kesimpulan bahawa Muhammad Taufik mencipta satu model tempat tinggal di luar grid. Muhammad Taufik mengakui bahawa dia hendak mendirikan rumah di atas tanah satu per lapan ekar untuk sebuah keluarga, yang dapat mengurangkan kebergantungan penduduk terhadap grid utiliti yang sedia ada. Hasratnya adalah untuk menyampaikan mesej dan menanamkan kesedaran bahawa apabila manusia kembali bergantung kepada alam semula jadi secara terus, manusia akan menyedari betapa pentingnya alam sekitar. Hal ini disokong oleh Nurul Hafsa. Sepanjang pertemuan tersebut, Nurul Hafsa sering bersetuju dengan pendapat Muhammad Taufik menyebabkan abangnya, Budiman tersenyum melihat gelagat dua pencinta alam etrsebut. Namun begitu, dia sedar bahawa adiknya Nurul Hafsa dan sahabatnya Muhammad Taufik emmpunyai misi penting yang tidak boleh dilalaikan dengan emosi. Akhirnya, Muhammad Taufik mengingatkan Nurul Hafsa tentang tujuan asal mereka bertemu Muhammad Taufik menolongnya membawa kembali kegelapan ke Kuala Selangor.

BAB 9: ZURIAT
Bab ini menceritakan Muhammad Taufik meminta pertolongan ayahnya Tan Sri Muhaimin untuk menyokong rancangannya untuk menjadikan Kuala Selangor satu kawasan simpan langit gelap secara industri untuk tujuan kaji bintang amatur dan profisional dan untuk menghalang kepupusan kelip-kelip. Pertemuan Tan Sri Muhaimin dengan rakan lamanya Tan Sri Yahya telah membuka ruang kepada mereka untuk berbicara tentang zuriat masing-masing. Pada akhir perbualan, Tan Sri Muhaimin bertahmit apabila menyedari bahawa usaha-usaha anaknya selama ini merupakan gabungan ciri-ciri terbaik dua orang manusia bernama Muhaimin dan Maryam.

BAB 10: SIDANG SEJUTA KELIP-KELIP
MuhamMad Taufik tersinggung jika sering dikaitkan dengan kedudukan dan kemewahan ayahnya. Muhammad Taufik ketawa mengenangkan peristiwa dia selalu didampingi oleh perempuan-perempuan yang ingin mengambil kesempatan atas kemewahannya. Namun begitu, mereka akan meninggalkannya setelah mengenali Muhamad Taufik yang sebenarnya. Kini, dia berhadapan dengan seorang gadis yang terang-terangan tertarik oleh keistimewaan-keistimewaan yang ada pada dirinya. Muhammad Taufik dan Nurul Hafsa bertemu di dalam bilik tutorial di Perpustakaan Awam Sultan Syarafuddin, Kuala Selangor untuk berbincang tentang pembentangan tentang projek Kuala Selangor. Di situ mereka berbalas-balas hujah bagi memantapkan pembentangan yang akan dilaksanakan nanti. Budiman menemankan mereka berdua tetapi tidak mengganggu perbincangan mereka. Muhammad Taufik kagun akan kesetiaan Budiman sebagai saudara tua yang hadir untuk menjaga tatatertib perhubungan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Nurul Hafsa mengemukakan rasional pelaksanaan projek tersebut, iaitu untuk mengembalikan populasi kelip-kelip ke Kuala Selangor sebelum pupus sepenuhnya dan mengembalikan kegemilangan Kuala Selangor sebagai pusat kajian falak yang terkenal di peringkat antarabangsa. Selesai perbincangan, Muhammad Taufik mempelawa mereka berdua ke rumahnya malam tersebut untuk menebus kekecewaan Nurul Hafsa yang tidak dapat melihat kelip-kelip di jeti Kampung Kuantan tempoh hari.

BAB 11: LEWAT SATU MELINIUM
Muhammad Taufik memilih untuk menggerakkan sampan menggunakan pendayung, bukannnya dengan menggunakan enjin motobot elektrik untuk membawa Nurul Hafsa dan Budiman ke kawasan kelip-kelip. Mereka berhenti setelah sepuluh minit mendayung. Berdasarkan pandangan Nurul Hafsa, keadaan gelap di situ adalah pada skala dua. Sambil menantikan kelip-kelip yang mula hadir, Muhammad Taufik menerangkan kepada dua beradik itu tentang jenis kelip-kelip atau dalam bahasa saintifiknya pteroptyx tener.  Kemudian bilangan kelip-kelip menjadi semakin banyak lalu menjadi satu gerombolan kelip-kelip yang berkerlipan secara serentak bagaikan lingkaran Bimasakti. Pada malam itu Nurul Hafsa terkejut apabila dimaklumkan Muhammad Taufik bahawa Puan Wickham ialah ibunya. Nurul Hafsa bersetuju dengan permintaan Muhammad Taufik bahawa dia akan meneruskan pencerapan data populasi kelip-kelip andai sesuatu terjadi kepada Muhammad Taufik.

BAB 12: STRATEGI
Muhammad Taufik akan mengambil masa seminggu untuk meminta bapanya menggunakan pengaruh beliau agar dia dan Nurul Hafsa dapat bertemu dengan pegawai daerah dan panel penasihatnya. Di hadapan dua insan penting tersebut, Nurul Hafsa memulakan pembentangan dengan membaca surah al-A,raaf, ayat 56.  Setelah dia dan Muhammad Taufik selesai membuat pembentangan dan menjelaskan segala kekeliruan Dato’ Haji Mustofa , pegawai daerah Kuala Selangor, mereka meminta Beliaumeneliti cadangan mereka untuk mewartakan Kuala Selangor sebagai kawasan simpan langit gelap yang pertama di negara ini.

BAB 13: DENDAM KEMBALI MEKAR
Dalam bab ini, Dato’ Haji Mustafa telah mengunjungi individu bernama Johann Arlington- Majid. Beliau memaklumkan minat mendalam menteri besar terhadap idea projek Kawasan Simpan Langit Gelap. Johann marah dengan berita tersebut kerana hal itu bermakna dia tidak dapat meneruskan penguasaan tender membekalkan lampu-lampu daripada syarikat miliknya. Johann merupakan ahli perniagaan yang hanya mementingkan kekayaan. Dia merupakan  musuh lama Tan Sri Muhaimin apabila Marion Wickham wanita yang dicintainya memilih Tan Sri Muhaimin sebagai suami. Dato’ Mustafa memaklumkan bahawa Muhammad Taufik akan  membuat pembentangan terbuka tentang projek tersebut di hadapan menteri besar, ahli akademik, ahli perniagaan dan orang awam di  bangunan SUK Shah Alam. Beliau meminta Johann untuk belajar dan memberikan tempoh selama seminggu untuk berfikir bagi mendapatkan tender projek tersebut jika mahu. Namun Johann tetap berkeras dengan pendiriannya, dan rasa tamaknya.

BAB 14: GELAP DALAM TERANG
Johan Arlington-Majid tetap hadir dalam sesi pembentangan terbuka projek yang diusahakan Nurul Hafsa dan Muhammad Taufik. Namun kehadirannya bukan untuk memberi sokongan malah untuk mengganggu dan membuat kecoh pada hari itu.  Nurul Hafsa dengan ditemani Muhammad Haimin disisinya telah membentangkan projek tersebut kepada yang hadir. Segala sanggahan daripada Johann telah berjaya dibidas dan Menteri Besar sentiasa menyokong pandangan dan hujahannya. Pembentangan pada hari tersebut banyak berkisar tentang jenis penggunaan lampu dan pencahayaan yang sesuai. Menteri Besar turut menegur sikap buruk Johann dalam majlis tersebut. Pada akhir pembentangan Menteri Besar mengumumkan bahawa pihak kerajaan negeri akan mengiklankan tender dalam masa terdekat. Johann yang sentiasa bergelumang dengan dendam kesumat dalam diam mengatur rancangan  untuk mengupah tiga orang tonto bagi menyiasat pergeragan Nurul Hafsa dan Muhammad Taufik dan memastikan mereka tidak dapat melaksanakan projek tersebut.

BAB 15: KHIANAT
Nurul Hafsa memerhatikan lampu-lampu jalan yang terdapat di lorong menuju ke rumahnya sambil memandu. Walaupun lorong tersebut sepi tetapi dia tidak pernah berasa terancam. Lorong ke rumahnya memang tiada berorang melainkan dua tiga hari kebelakangan terdapat tiga orang lelaki memotong rumput di tepi-tepi jalan. Namun demikian, dia hairan walaupun tiga orang pemotong rumput bekerja tetapi lalang masih meninggi. Ketika dia menghentikan kenderaannya di sisi motosikal Budiman, dia menerima berita Taufik ditimpa kemalangan. Mereka terus pergi mencari Taufik dan bertemu dengannya dalam rimbunan lalang dengan bajunya dibasahi darah di bahagian rusuk. Nurul Hafsa segera menelefon ambulans dan Taufik dibawa ke Hospital Besar Tanjung Karang. Menerut siasatan awal, polis memberitahu walaupun penyerang mengambil barang-barang berharga milik Taufik, namun mereka meninggalkan telefon bimbitnya sebagai suatu mesej peribadi penjenayah kepada mangsa. Pihak hospital memaklumkan bahawa Muhammad Taufik berada dalam keadaan stabil.

BAB 16: DUA KELIP-KELIP TERAKHIR DI DUNIA
Nurul Hafsa bersama dengan ayah dan abangnya menuju ke hospital untuk melawat Muhammad Taufik. Setibanya mereka di sana, Nurul Hafsa melihat ibu dan bapa Muhammad Taufik sedang berbual dan sedikit bertelagah tentang kejadian yang menimpa anak mereka. Nurul Hafsa meminta izain untuk berbual dengan mereka berdua dan menceritakan keazaman Muhammad Taufik. Selepas itu mereka solat subuh berjemaah di surau hospital. Kemudian, mereka mendapat khabar tentang keadaan Muhammad Taufik yang semakin baik walaupun belum sedar. Nurul Hafsa melawat Muhammad Taufik dua hari kemudian sambal ditemani abangnya, Budiman. Dia memohon maaf kepada rakan seperjuangannya itu atas segala yang terjadi. Dia bersedia jika Muhammad Taufik ingin mengundurkan diri. Namun begitu, temannya itu masih berkobar-kobar untuk meneruskan perjuang mereka bersama. Dalam pertemuan tersebut, Muhammad Taufik sempat bertanyakan Nurul Hafsa tentang sebab dia tidak memakai selendang hitam bermanik Kristal.

BAB 17: JALAN YANG DITINGGALKAN
Tan Sri Muhaimin memberitahu Muhammad Taufik ketika beliau dan bekas isterinya berada di hospital bersama Muhammad Taufik bahawa Ketua Inspektor Lim menasihati beliau agar memberitahu pihak media bahawa kejadian yang menimpa anaknya merupakan kejadian jenayah biasa bagi memudahkan pihak polis menjalankan siasatan. Namun begitu, Muhammad Taufik tidak bersetuju dan meminta ayahnya memberitahu perkara sebenar bahawa serangan tersebut bermotifkan khianat kerana dia yakin motif serangan tersebut adalah untuk membuktikan kegelapan sebagai punca jenayah seterusnya menghalang projek kawasan Simpanan Langit Gelap akan dihentikan. Setelah Menteri Besar berbincang dengan Tan Sri Muhaimin melalui perbualan telefon, keesokan harinya akhbar mengeluarkan berita bahawa Kuala Selangor Akan Diwartakan Sebagai Kawasan Simpan Langit Gelap.

BAB 18: KERASUKAN
Sejak Muhammad Taufik dimasukkan ke hospital, sudah hampir seminggu kerja mencerap populasi kelip-kelip terhenti. Sebagai menunaikan janji mereka terhadap Muhammad Taufik, Nurul Hafsa dan Budiman meneruskan kerja tersebut dengan menggunakan peralatan pencerapan yang telah disampaikan oleh Tan Sri Muhaimin kepada mereka berdua. Ketika meranduk semak samun untuk balik ke kereta mereka selepas melakukan aktiviti pencerapan, tiba-tiba Nurul Hafsa terdengar suatu bunyi dan ternampak Budiman tergelimpang di tanah. Sepantas kilat, dia dicapai oleh tangan-tangan ganas. Dia ternampak susuk tiga orang lelaki sebelum mulutnya dibalut dengan pita pelekat bersaiz lebar dan kepalnya disarung dengan kain gelap.

 BAB 19: SELENDANG HITAM MANIK KRISTAL
Muhammad Taufik bersiap-siap untuk keluar dari Hospital dan mengikut ibunya pulang ke Otago apabila dia kejutkan dengan jambangan bunga berbalut selendang hitam bermanik kristal. Dia menjumpai sekeping nota dalam jambangan tersebut yang memintanya berada di stesen petronas pada jam 8.30 pagi hari tersebut. Hatinya bertambah bibang apabila melihat kerongsang yang yakininya milik Nurul Hafsa. Muhammad Taufik meminta Tan Sri Muhaimin menghentikan kereta di stesen petronas ketika dalam perjalanan ke lapangan terbang dengan alasan ingin ke tandas. Tanpa disedari kedua-dua orang tuanya, dia pergi ke tempat van putih seperti yang tercatat dalam nota yang diterimanya. Ketika itu, dia diarahkan masuk ke dalam van tersebut sebelum disarung sebelumnya tangannya diikat dan dimasukkan ke dalam but kereta. Kepanya disarung dengan kain hitam sepanjang perjalanan. Muhammad Taufik dibawa ke lokasi yang sama dengan tempat Nurul Hafsa ditahan. Menyedari situasi tersebut, dia cuba menenagkan Nurul Hafsa walaupun tidak dapat melihat apa-apa sebelum dia dipukul di rusuknya sehingga tidak sedarkan diri.

BAB 20: NYAWA UNTUK NYAWA
Nurul Hafsa telah dibebaskan oleh penculik. Dia bimbang dengan keadaan Muhammad Taufik yang belum dibebaskan. Dalam keadaan tersebut, Nurul Hafsa berasa bertuah kerana tidak dicederakan. Dia pasti bahawa perancang jenayah ini sebenarnya ingin mencapai sesuatu yang boleh diukur dengan wang. Jika rancangan tersebut gagal sekalipun, mereka masih boleh melepaskan diri daripada tuduhan mencederakan, merogol atau membunuh mangsa.  Dengan bantuan pemandu van sekolah yang ditahannya ketika dia berjalan seorang diri, dia telah membuat laporan polis. Haji Yassir dan Budiman bersyukur keran Nurul Hafsa selamat. Haji Yassir menenangkan Tan Sri Muhaimin dengan meminta beliau bersabar, berdoa dan menyerahkan segalnya kapada Allah. Kehilangan Muhammad Taufik disiarkan dalam berita setiap jam di semua stesen televisyen tempatan.

BAB 21: LEGASI BAJU BIRU
Bab ini menceritakan kronologi penculikan Nurul Hafsa dan Muhammad Taufik. Dengan bantuan CCTV, pihak polis cuba mengecam van putih yang digunakan oleh penculik tersebut. Malangnya, nombor pendaftaran kenderaan tersebut sukar dikesan kerana kabur. Tan Sri Muhaimin telah memaklumkan kepada Ketua Inspektor Lim tentang pesanan ringkas yang dihantar ke telefon bimbitnya yang memintanya menarik balik sebut harga Dedaun Emas jika tidak mahu menerima padah. Berita tengah hari yang membawa khabar tentang penculikan sensasi etrsebut secara besar-besaran telah membuahkan hasil. Seorang penduduk tempatan telah membuat aduan tentang aktiviti bukan perladangan di sebuah ladang kelapa sawit yang terletak jauh di pedalaman Bestari Jaya. Pasukan Gerak Khas telah diarahkan ke lokasi tersebut untuk mengadakan serbuan dan tangkapan. Selepas berbalas tembakan, Muhammad taufik berjaya diselamatkan.

BAB 22: CINTA PEJUANG
Nurul Hafsa, Haji Yassir dan Budiman berada di Masjid Jamik Sultan Ibrahim Kuala Selangor untuk menghadiri kenduri kesyukuran bagi meraikan pernikahan kali kedua Tan Sri Muhaimin dan bekas isterinya. Tan Sri Muhaimin menyampaikan ucapan ringkas menyatakan rasa syukur beliau ke hadrat Ilahi dengan kembalinya anak dan isteri ke pangkuan beliau. Musuh perniagaannya pula bakan menghadapi pengadilan. Dalam majlis tersebut, Muhammad Taufik meluahkan isi hatinya terhadap Nurul Hafsa. Dia telah mengembalikan selendang hitam manik kristal yang disimpannya semenjak hari pertama dia mengetahui Nurul Hafsa diculik.  Muhammad Taufik menyampaikan hasratnya untuk menghantar rombongan lamaran ke kediaman orang tau Nurul Hafsa. Dalam keadaan malu dan meminta diri untuk membantu mengemaskan kenduri yang baru selesai, dia menerima pesanan ringkas daripada Muhammad Taufik bertulis kita ialah dua kelip-kelip terakhir di dunia.

TEMA
Kegigihan anak muda dalam usaha melestarikan alam sekitar.

Nurul Hafsa, Muhammad Taufik dan Budiman telah bersatu hati dalam berjuang untuk melestarikan alam sekitar. Mereka cuba memulihkan populasi kelip-kelip dan mengembalikan kegelapan langit di Kuala Selangor sebagai kawasan mencerap bintang. Mereka telah berusaha mendapatkan sokongan pihak kerajaan terhadap projek Kawasan Simpan Langit Gelap yang pertama di Asia Tenggara. Dalam masa yang sama Muhammad Taufik sedang mengusahakan projek perumahan Ikhtiar TeknoAlam dengan membina rumah mesra alam.

PERSOALAN
1.    Persoalan kebijaksanaan dalam menangani masalah.
Nurul Hafsa mengemukakan hujah bijak yang dapat diterima oleh kumpulan pengunjung Balai Cerap Sultan Salahuddin, Kuala Selangor pada malam bintang tidak dapat dicerap dengan mata kasar akibat langit tidak menjadi gelap pada waktu malam.

2.    Persoalan hubungan kasih sayang antara ibu dengan anak.
Puan Wickham tetap mengambil berat tentang projek Ikhtiar TeknoAlam yang diusahakan anaknya Muhammad Taufik walaupun mereka jarang-jarang dan sukar untuk bertemu.

3.    Persoalan cinta akan alam sekitar.
Budiman dan adiknya sama-sama prihatin terhadap pencemaran cahaya yang berlaku di Kuala Selangor dan berazam untuk menyelamatkan Kuala Selangor daripada pencemaran akibat pembangunan yang tidak terancang.

4.    Persoalan penceraian tidak menghalang kasih sayang antara ibu bapa dengan anak.
Puan Wickham dan Tan Sri Muhaimin tidak pernah bermusuh tentang penjagaan anak mereka Muhamad Taufik, malah sering memberikan sokongan kepadanya walaupun mereka telah bercerai.

5.    Persoalan ketaatan kepada ajaran agama
Budiman menemani Nurul Hafsa ketika berbincang dengan Muhammad Taufik di bilik tutorial di Perpustakaan Awam Sultan Syarafuddin, Kuala Selangor kerana mereka bukan mahram.

6.    Persoalan perasaan dendam yang tidak berkesudahan
Johan Arlington-Majid menaruh dendam yang tidak pernah padam terhadap Tan Sri Muhaimin berpunca daripada Maryam Wickham memilih Tan Sri Muhaimin sebagai suami sehingga membawa kepada kes penculikan anak mereka, iaitu Muhammad Taufik.
sumber

Novel Komsas Tingkatan 5 (2016~2021)
Novel Songket Berbenang Emas - Khairuddin Ayip
ZON 1 : NEGERI PERLIS, KEDAH, PULAU PINANG, DAN PERAK

Novel Tirani - Beb Sabariah
ZON 2 : NEGERI SELANGOR, NEGERI SEMBILAN, WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR & PUTRAJAYA

Novel Bimasakti Menari - Sri Rahayu Mohd Yusop
ZON 3 : NEGERI MELAKA, PAHANG, TERENGGANU, DAN KELANTAN

Novel Silir Daksina - Md Nizar Parman
ZON 4 : NEGERI JOHOR , SABAH, SARAWAK, DAN WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN

22 Komentar untuk "Novel Bima Sakti Menari - Komsas Tingkatan 5"

saya nak detail pasal novel

saya mau ulasan latar persoalan nilai dan pengajaran teknik penceritaan watak perwatakan dan peristiwa penting pasal novel Bimasakti Menari

af keling bacin
delete

sye mau sinopsis setiap bab..

saya nak smua kupasan tntg novel ini

saya nak persoalan dan sinopsis keseluruhan novel ni

salam..sinopsis bab demi bab ado dok eh?

salam..sinopsis bab demi bab ado dok eh?

Nak sinopsis yang penuh..

Tanpa Nama
delete

saya mau ulasan latar persoalan nilai dan pengajaran teknik penceritaan watak perwatakan dan peristiwa penting pasal novel Bimasakti Menari

Slm, nk tanya nilai kemasyarakatan ade dk.

Tanpa Nama
delete

Sy nak kritikan sosial novel nie

Tanpa Nama
delete

saya mahu tahu sebab novel disukai ramai

Tanpa Nama
delete

boleh sediakan watak dan perwatakan dalam novel :)

Boleh sediakan peristiwa dlm setiap bab tak

Tanpa Nama
delete

doakan bm sy A.. 😊

Tanpa Nama
delete

Bismillahhirrahmannirrahim.. saya berharap dengan ini semua calon spm 2018 akan dapat A+ dalam SPM..
Sbb calon 2019 novel lain? Kan?

Tiada Latar tempat,masa dan masyarakat.Kami harap akan ada perubahan yang lebih baik.

Tanpa Nama
delete

Hai

Tanpa Nama
delete

nak teknik plot boleh?

Saya nak peristiwa bab8

tolong saya jelaskan bahawa perwartankan tan sri yahya

Tanpa Nama
delete

Terima kasih❤️

Coretan anda amat-amat dihargai. Terima kasih bersama 'BMBlogr - “Jazakumullah Khairan Katsiran Wa Jazakumullah Ahsanal Jaza”

 
Copyright © 2015 BMBlogr - All Rights Reserved