Kisah Pemuda Sado Digoda Wanita


Istilah lelaki sado sudah menjadi biasa masa kini. Ia nerujuk kepada lelaki yang berbadan tegap dan sasa. Ianya menjadi penampilan yang menarik dan disukai oleh ramai wanita.

Namun bertubuh sado sahaja tidak menjanjikan hati budi sebenar seorang lelaki. Luaran tidak mencerminkan dalaman.

Kisah ini menceritakan seorang lelaki yang tampan dan bertubuh sado dan bukan hanya fizikal menjadi perhatian tetapi lebih penting bagaimana keperibadian baik dan murni itu lebih dinilai dan disanjung tinggi.

Kisah Pemuda Sado Digoda Wanita
Sekadar gambar hiasan dari google image

Kisah Pemuda Sado Digoda Wanita

Ada seorang pemuda yang menjual kain dari rumah ke rumah. Dia mempunyai susuk tubuh yang tegap (sado) dan rupa paras yang tampan.

Pada suatu hari melewati jalan-jalan kebiasaannya menjual kain, tiba-tiba seorang wanita telah memanggilnya dan memintanya untuk masuk ke dalam rumah. Apabila pemuda itu masuk ke dalam rumah maka wanita itu terus mengunci pintu.

Terkejut dengan perbuatan wanita tersebut, pemuda itu terus mengingatkan wanita tersebut akan dosa berdua-duaan ditempat tertutup. Namun nasihatnya hanya sia-sia malah wanita itu semakin ghairah pula.

Wanita itu menyatakan betapa ia ingin melepaskan perasaan rindu dendamnya yang terpendam sejak sekian lama terhadap lelaki tersebut.

Wanita itu berkata pada pemuda penjual kain: “Jika kamu tidak melakukan apa yang aku perintahkan pada kamu nescaya aku akan menjerit minta tolong. Aku akan beritahu kepada semua orang bahawa kamu menceroboh masuk dan memaksa ku melakukan perkara sumbang. Sudah tentu orang akan mempercayai kata-kataku ini.”

Melihat perlakuan wanita itu yang nekad. pemuda itu menyuruhnya pergi bersiap-siap dan dia minta izin untuk masuk ke bilik air dengan alasan kononnya ia juga ingin mempersiapkan diri.

Apabila masuk ke bilik air, tubuh pemuda itu dengan sendiri rasa gementar daripada rasa takut dan jatuh dalam lumpur dosa dan tiba-tiba timbul dalam fikirannya satu idea untuk keluar dari masalah ini.

Pemuda itu pun buang air besar dan ia melumurkan seluruh badan dengan najisnya sendiri! Sambil menangis ia berkata: “Daripada aku terjerumus dalam najis dosa dan kemurkaan Allah maka lebih baik aku lumurkan diriku dengan najis dunia yang busuk ini.”

Apabila pemuda itu keluar dari bilik mandi, dia dapati wanita itu sudah menunggunya. Alangkah terperanjatnya wanita itu dan terasa sangat jijik dengan keadaannya lalu wanita itu pun menjerit marah dan menyuruh pemuda itu keluar dari rumahnya dengan segera.

Maka, terlepaslah si pemuda itu dari dugaan yang amat berat. Semasa dalam perjalanan pulang dia terdengar azan berkumandang. Segera dia terus balik ke rumah dan membersihkan diri namun bau busuk tersebut masih melekat ditubuhnya.

Dengan perasaan malu dengan bau badannya yang masih busuk tetapi dia tetap terus melangkahkan kakinya ke masjid demi tanggungjawab untuk menunaikan solat. Setelah selesai solat, pemuda itu menjadi panik apabila semua mata para jemaah tertumpu ke arahnya.

Dalam keadaan tersipu-sipu dia mohon maaf. Ketika dia ingin beredar, jemaah masjid terus mengerumuninya dan bertanya kepadanya dari mana dia mendapat bauan yang sangat wangi
itu.

Semua ahli jemaah dapat mencium bauan kasturi yang sangat semerbak harumnya...dan dikatakan
bahawa bau harum tersebut kekal pada tubuh pemuda itu hingga sampai ke akhir hayatnya. Beliaulah Abu Bakar “Al Miski” atau juga dikenali sebagai Pemuda Kasturi..

Ingatlah, apabila seseorang ingin melakukan zina maka ia terjerumus dalam najis dosa yang amat jijik di sisi Allah. Ketampanan dan kegagahan seorang lelaki itu pula bukanlah dipandang pada rupa dan fizikalnya yang sado tetapi adalah pada keimanan dalam dirinya.

0 Komentar untuk "Kisah Pemuda Sado Digoda Wanita"

Coretan anda amat-amat dihargai. Terima kasih bersama 'BMBlogr - “Jazakumullah Khairan Katsiran Wa Jazakumullah Ahsanal Jaza”

 
Copyright © 2015 BMBlogr - All Rights Reserved