Festival Bunga - Floria Diraja Putrajaya 2015
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Sudah kali ke lapan Festival Floria Putrajaya dilangsungkan. Ini merupakan kali keempat dapat berkunjung ke sini. Alhamdulillah...cuaca agak baik, tidak hujan tetapi sedikit panas tapi berbanding tahun lepas... lagilah panas dan berjerebu.
Festival Floria Diraja Putrajaya 2015 (Royal Floria Putrajaya 2015) atau senang disebut Pesta Floria dan juga Pesta Bunga Putrajaya sedang berlangsung selama seminggu mulai 30 Jun yang lalu bertempat di Presint 4, Putrajaya menawarkan pelbagai acara dan pameran yang menarik untuk dilihat.
Ini merupakan kali ke dua ianya diadakan ditapak kekal Floria dan jika dibandingkan dengan tahun lepas ianya tidak menampilkan begitu banyak perubahan yang ketara.
Entahlah...sejak bertukar tapak ni, pamerannya agak kurang menyerlah... Macam kurang bunga jer berbanding empat tahun dulu walaupun pelbagai tema laman diperlihatkan.
Pada tahun ini bunga Lily dipilih sebagai bunga tema Floria Diraja Putrajaya 2015. Bunga yang cantik dengan pelbagai warna dan agak wangi baunya.
Kembara Floria 2015 Bersama Relaks Minda
Sebagai tatapan buat mereka yang tidak sempat berkunjung ke Floria Diraja Putrajaya 2015, nikmatilah gambar-gambar berikut dalam "Sehari Di Festival Floria Diraja Putrajaya 2015". Kali ini agak terkilan kerana tidak dapat menggunakan digital kamera kerana rosak maka hanya menggunakan kamera handphone sajalah. Semoga puas hati walaupun kualitinya agak kureng...
Jika tahun lepas dekorasi dilaluan ini dihiasi dengan payung berwarna-warni yang digantung, pada tahun ini hanya kain ela berwarna menjadi hiasan. Agak menarik namun tidak sehebat tahun lepas.
Tapak pameran ini sangat luas. Sejam dua pasti tidak cukup masa untuk meneliti setiap bahagian taman pameran. Bawa air secukupnya jika cuaca panas dan sekarang ini pula cuaca tidak menentu, pastikan bawa payung ya!
Festival Floria Putrajaya ini juga dibuka sehingga pukul 11:00 malam. Suasana diwaktu malam dikhabarkan sangat indah dan menarik dengan pelbagai hiasan lampu neon yang pelbagai warna. Waktu melawat yang sesuai bagi mereka yang tidak tahan akan kepanasan terik mentari.
Antara pemandangan menarik yang boleh dilihat dipinggir tasik Putrajaya di tapak Floria Putrajaya. Tahun lepas dapat berada di sini diwaktu senja, pemandangannya sangat cantik!
Taman Jalinan Persahabatan Malaysia - China telah siap dan dibuka pada Floria kali ini. Dekorasi yang menarik seumpama berada di negara China.
Satu kelainan pada tahun ini adalah pameran taman musim sejuk dan musim bunga. Nak masuk kena bayar lagi RM3. Namun agak kecewa kerana bukannya pameran taman tetapi hanya berada di ruang yang sejuk umpama dalam sebuah panggung dan melihat tayangan video di skrin besar akan suasana musim sejuk dan musim bunga... itu sajer...
Seperti tahun-tahun sebelumnya, terdapat juga ruang pameran diruangan tertutup (pavilion). Di sini dipamerkan gubahan dan dekorasi kreatif yang menggunakan bunga sebagai tema utama. Jika Tahun lepas, suasana di hutan hujan menjadi tarikan, pada tahun ini pula dekorasi pergunungan menjadi pesona yang utama.
Pameran dan Pertandingan orkid telah menjadi satu acara tetap disetiap Festival Floria Putrajaya. Memang terpukau melihat kecantikan dan keunikan pelbagai spesis orkid yang dipamerkan!
Satu lagi yang menarik perhatian adalah demontrasi gubahan ukiran buah-buahan. Sungguh kagum melihat ketelitian dan kecantikan hasil gubahan buah-buahan tersebut! Selalu lihat hanya gambar... tapi kali ini secara 'live'... Memang puas hati!
Antara rekaan yang paling menonjol dan menarik perhatian ramai pada Floria Diraja Putrajaya 2015 adalah replika Istana Menanti, Negeri Sembilan.
Satu lagi tarikan yang unik adalah taman kanak-kanak. Namun ianya kelihatan agak kosong. Jika ditambah dengan pelbagai hiasan dan dekorasi, pasti akan menyerlahkan lagi taman ini
Selain dari menyaksikan keindahan taman, gubahan bunga dan lanskap, terdapat juga tarikan lain untuk dilakukan bersama anak-anak, tapi kalau anda berkunjung pada hujung minggu... suasananya pasti sesak dan tidak setenang ini...
Setiap pameran pasti ada tapak bazaar jualan. Di sini anda boleh memilih serta membeli pelbagai jenis pokok bunga, herba dan buah-buahan. Selain dari itu, pelbagai produk seperti baja, peralatan tanaman dan pertanian serta khidmat nasihat juga ada di sini. Malah, pelbagai jenis hasil jualan kraftangan, pakaian dan cenderahati juga ada jual.
Anda pasti rambang mata! Lokasi terakhir yang wajib disinggah sebelum bergerak pulang meninggalkan tapak Festival Floria Diraja Putrajaya 2015!
Pengalaman Berkunjung Floria Putrajaya
Festival Floria Diraja Putrajaya akan berakhir pada 7 Jun 2015. Masih ada masa untuk berkunjung kesana. Pada keseluruhannya, Pesta Bunga Floria tahun ini tidak benar-benar menyerlah. Lebih kurang sama seperti tahun lepas. Jumlah penggunaan bunga yang kurang dan dekorasi pameran juga tidak begitu banyak yang menyerlah.
Ianya tidak setanding dengan pameran yang diadakan ditapak lama atau lebih tepat, empat tahun sebelumnya yang cukup menarik dan mempersonakan! Namun, jika ini adalah kunjungan kali pertama, anda pasti akan terpesona dan tetap merasa kemeriahan serta kehebatannya!
Diharapkan dengan sedikit gambar dan ulasan ini dapat memberi informasi buat mereka yang tidak berkesempatan atau yang belum berkunjung lagi. Anda boleh lihat banyak lagi gambar Floria Diraja Putrajaya 2015 ini di : Facebook Relex Minda
Tahun hadapan mungkin akan ada lagi... Luangkan waktu anda bersama keluarga di waktu cuti sekolah ini untuk berkunjung ke Festival Floria Diraja Putrajaya 2016 pula nanti...
"Senyum sikit... :) BM nak tangkap gambar anda pula... " |
Lihat juga apa yang menarik di Floria sebelum ini:
- Festival Bunga Floria Putrajaya 2012
- Festival Bunga Floria Putrajaya 2013 (Bahg. 1)
- Festival Bunga Floria Putrajaya 2013 (Bahg. 2)
- Magic of The Night - Floria Putrajaya 2013
- Festival Bunga Floria Putrajaya 2014 (Bahg. 1)
- Festival Bunga Floria Putrajaya 2014 (Bahg. 2)
1 Komentar untuk "Festival Bunga - Floria Diraja Putrajaya 2015"
Menariknya, Subhanallah melihat penciptaan Allah yang sangat cantik...
Coretan anda amat-amat dihargai. Terima kasih bersama 'BMBlogr - “Jazakumullah Khairan Katsiran Wa Jazakumullah Ahsanal Jaza”