Ganjaran, Rezeki Dan Dugaan Di Bulan Ramadan
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Sekejap sungguh masa berlalu. Terasa seperti baru lagi berada dalam tahun 2015 ini tetapi sudah setengah tahun berlalu. Minggu hadapan pula, InsyaAllah... bulan Ramadan yang mulia pula akan kita sambut bersama. Semoga kita semua dipanjangkan usia...amiin.
Sepanjang bulan Ramadan ini terlalu banyak barokah dikurniakan kepada kita. Setiap amal dan ibadat akan digandakan pahalanya, malah kita juga dikurniakan ganjaran tambahan melalui ibadah khusus di bulan Ramadan seperti berpuasa, terawih, malam lailatul qadar, bersahur dan lain-lain.
Maka, dalam tempoh sebulan Ramadan ini adalah peluang berharga untuk kita melakukan amal dan ibadat bagi merebut sebanyak mungkin ganjaran yang ditawarkan sebagai bekalan di hari akhirat kelak.
Rezeki di Bulan Ramadan
Selain dari peluang terbuka untuk merebut pelbagai ganjaran berganda-ganda dengan melakukan pelbagai amal dan ibadat. Pada bulan Ramadan ini juga menjadi bulan yang terbaik untuk mengaut pendapatan dan keuntungan yang berganda!
Sejak sebelum Ramadan sehinggalah Syawal, kita dikurniakan limpahan rezeki yang murah. Bagi mereka yang bijak mengambil peluang, inilah masanya untuk menambah pendapatan. Perniagaan di bazaar Ramadan, tukang jahit baju, pembuat kuih, penjual perabot, penjual kain, pasaraya, penternak dan sebagainya mampu meraih keuntungan berlipat kali ganda!
Namun harus diingat, jangan sampai terlalu memikirkan dan memberi tumpuan tentang perniagaan serta keuntungan kerana tujuan sebenar kehadiran Ramadan haruslah diberi keutamaan dan didahulukan.
Ramadan adalah bulan kemurahan rezeki juga buat semua umat. Bagi yang tidak berkemampuan, pada bulan ini cukup mudah nak dapat makan percuma. Di mana-mana masjid tersedia hidangan berbuka puasa dan moreh. Sumbangan dan sedekah pula akan datang mencurah-curah. Sama-samalah kita berkongsi rezeki yang ada...
Godaan di Bulan Ramadan
Pabila Ramadan tiba, maka syaitan akan dirantai dari menggoda iman tetapi bukan bermakna langsung tiada dugaan dan kita akan menjadi seorang yang baik serta beriman dalam tempoh sebulan itu.
Keimanan kita tetap ada akan diuji dengan bisikan dari hawa nafsu sendiri. Maka tidak hairanlah, pada bulan Ramadan menjadi bulan yang berlakunya terlalu banyak pembaziran dan sikap bermegah-megah.
Seringkali kita berbelanja mengikut kehendak dan bukannya keperluan. Malas memasak dan membeli makanan secara berlebihan serta berbelanja besar makan buffet di hotel....tetapi akhirnya tindakan tersebut ternyata hanya satu pembaziran.
Begitu juga menukar segala barangan, peralatan dan perhiasan yang baru. Dari pakaian, perkakas rumah hinggalah kepada kereta walaupun sanggup berhutang demi memenuhi kehendak untuk memuaskan hati sendiri dan orang lain.
Ada pula yang saling berlawanan menunjuk-nunjuk kemegahan serta kemewahan dan paling mengecewakan, ada yang menghulurkan sumbangan amal atau sedekah pun mahukan nama dan publisiti.
Begitulah hebatnya penangan godaan hawa nafsu ini di bulan Ramadan. Setelah berusaha beribadat dan beramal untuk beroleh ganjaran berganda dan pahala, akhirnya ianya terhapus akibat tergoda dengan hawa nafsu sendiri. Semoga kita semua diberi kekuatan keimanan untuk mengawal hawa nafsu...
Ramadan Terakhir
Marilah kita semua saling ingat-mengingati dan nasihat-menasihati kerana kita adalah insan yang lemah dan mudah lalai serta tersilap langkah. Bersama kita berdoa dan menanamkan tekad agar Ramadan tahun ini akan menjadi Ramadan yang terbaik, terhebat dan paling bermakna dalam hidup kita.
Beramal ibadatlah seumpama Ramadan ini nanti adalah yang terakhir buat kita. InsyaAllah... Semoga dipermudahkan urusan dan dimakbulkan segala permintaan... amiin.
2 Komentar untuk "Ganjaran, Rezeki Dan Dugaan Di Bulan Ramadan"
Semoga ramadhan tahun ni akan memberikan 1001 keberkatan dalam hidup kita..
semoga masih diberi peluang untuk menemui ramadhan lagi ...
Coretan anda amat-amat dihargai. Terima kasih bersama 'BMBlogr - “Jazakumullah Khairan Katsiran Wa Jazakumullah Ahsanal Jaza”