Kelebihan Malam Lailatul Qadar & Amalan Rasulullah SAW
Bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh barokah. Bulan yang mulia buat umat islam. Walaupun dibulan ini kita diuji dengan dugaan berpuasa namun kita dikurniakan ganjaran berlipat ganda melalui segala amal ibadah yang dilakukan. Itulah antara kelebihan yang tidak akan kita nikmati dibulan-bulan yang lain.
Salah satu keistimewaan yang Allah SWT kurniakan untuk umat Islam dan hanya berlaku di bulan Ramadhan adalah ‘Malam al-Qadar’. Lailatul Qadar juga dikenali dengan nama ‘Lailatul Syaraf’ bermaksud malam kemuliaan dan ‘Lailatul Tajalli’ yang bermakna malam Allah melimpahkan cahaya dan hidayah-Nya kepada orang yang berpuasa pada siang hari dan beribadat pada sebelah malamnya.
Dalam Surah al-Dukhan, ayat 2, Allah SWT telah berfirman: “Sesungguhnya Kami telah turunkan al-Quran itu pada malam yang penuh keberkatan dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan.” dan firman-Nya lagi dalam Surah al-Qadr, ayat 1 hingga 3: “Sesungguhnya Kami menurunkannya (Al_Quran) pada Lailatul Qadar. Tahukah kamu apakah Lailatul Qadar itu? Lailatul Qadar adalah lebih baik daripada seribu bulan.”
Ganjaran di Malam Lailatul Qadar
Ini bererti sesiapa yang beribadat pada malam-malam tersebut digandakan pahala dan diberikan ganjaran yang amat tinggi di sisi Allah SWT. Gandaan pahala melakukan ibadah pada malam ini dikatakan mempunyai nilai lebih 29,500 kali ganda. Maka ianya boleh dijadikan perangsang kepada umat mukmin bagi melipat-gandakan amal ibadat pada malam akhir Ramadhan al-Mubarak.
Malam itu Allah SWT mencucuri pelbagai rahmat, keampunan dan keberkatan kepada orang yang beramal dengan khusyuk dan berdoa dengan penuh keikhlasan. Pada malam ini juga turunnya para Malaikat bersama-sama turunnya berkat dan rahmat Allah SWT yang dikhaskan untuk malam ini.
Allah SWT amat Penyayang kepada hamba-Nya sekiranya kita tidak berputus asa dan menggunakan sepuluh malam terakhir ini bagi menebus kesilapan seumur hidup kita yang lalu.
Firman Allah SWT: “Pada malam itu (Lailatul Qadar) dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah.” (Al-Dukhan : 4)
Amalan Rasulullah SAW Di Malam Lailatul Qadar
Rasulullah SAW menganjurkan umatnya agar mencari dan menghidupkan 10 malam terakhir Ramadhan. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang beribadah pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada keredaan Ilahi (ketakwaan), maka akan dihapuskan semua dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat Abu Hurairah, Bukhari dan Muslim).
.
Antara amalan yang dilakukan Rasululah SAW dan para sahabat pada malam-malam terakhir Ramadhan ialah:
- Mandi, berpakaian cantik dan berwangi-wangian.
- Beriktikaf iaitu mendampingi masjid untuk mentaati Allah.
- Mengejutkan keluarga agar bangun beribadah.
- Uzlah (tidak mendekati) isteri.
- Memperbanyakkan amal ibadat dan berqiamulail di masjid atau surau.
- Menghadiri majlis ilmu, mengulangkaji hadith, tafsir dan sirah nabi.
- Memperbanyakkan bertasbih, tahmid, takbir, istighfar dan bersalawat.
- Membaca dan tadarus al-Quran serta berzikir kepada Allah.
- Bersolat Tarawih, Witir, Tahajud, Taubat dan solat Hajat.
- Bertaubat daripada segala kesalahan dan dosa selama ini.
- Berdoa ke hadrat Ilahi. Baginda SAW sering membaca doa: “Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih.”
- Berdoa mendapatkan keampunan dan keberkatan malam itu.
Daripada Amru bin ‘Ash, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang solat pada malam Ramadhan dan membaca 10 ayat daripada Al-Quran, maka dia tidaklah dicatat sebagai orang yang lalai.” (Hadis Riwayat Abu Daud r.a.)
.
Rasulullah SAW tidak pernah sekalipun meninggalkan iktikaf pada sepuluh malam terakhir Ramadhan sehinggalah baginda wafat. Isteri-isteri baginda juga turut beriktikaf bersama-samanya ketika baginda hidup dan selepas baginda wafat.
Semoga kita semua beroleh Malam Lailatul Qadar... InsyaAllah.
rujukan: shafiqolbu.wordpress.com
0 Komentar untuk "Kelebihan Malam Lailatul Qadar & Amalan Rasulullah SAW"
Coretan anda amat-amat dihargai. Terima kasih bersama 'BMBlogr - “Jazakumullah Khairan Katsiran Wa Jazakumullah Ahsanal Jaza”